"Adam, berapa kali mama cakap jangan conteng dinding! Habis dinding kat rumah ni dia dikerjakan."
Siapa yang tak stres bila tengok dinding rumah yang asalnya cantik dan bersih sudah bertukar comot dan penuh contengan. Sebelum anda sendiri bertukar menjadi 'singa' akibat hasil kreativitinya di dinding rumah, cuba anda fahami dulu 'hasil kerjanya' daripada perspektif positif. Sesuatu yang bagus berlaku dalam perkembangan kognitif anak anda.
Ini fakta yang ibu bapa kena faham dan tak terus marah anak
1. Kanvas paling sesuai
Kanak-kanak perlu menconteng. Ia bagus untuk perkembangan mereka. Dalam pemikiran seorang kanak-kanak dinding adalah kanvas yang paling baik untuk menconteng berbanding sehelai kertas. Bagi mereka, dinding sangat besar dan luas dan ia boleh menjadi ruang yang sesuai untuk dia melatih kemahiran baru dan meneroka keseronokan apabila dapat melukis menggunakan pensil atau warna krayon di atas dinding.
2. Melatih kemahiran menulis
Minat si kecil terhadap seni dan kreativiti seperti melukis pada dinding, ada kaitan dengan kemahiran menulis. Anak anda belajar menggenggam krayon dalam tangannya dan kemudian jari-jarinya cuba untuk membuat lakaran pada dinding, iaitu satu demonstrasi kawalan motornya yang besar dan halus.
Sekiranya anda perhatikan hasil kerjanya, anda akan nampak lakarannya yang besar dan luas telah berkembang menjadi garis halus yang digunakan pada kawasan yang kecil.Sebenarnya ia petanda yang bagus. Si kecil berjaya menguasai kemahiran mengawal contengan dan ia menjadi asas penting untuk dia menulis huruf dan perkataan kelak.
3. Mengekspresi diri
Keperluannya untuk berdikari dan meluahkan perasaan akan berkembang kepada bentuk komunikasi yang boleh diterima. Kanak-kanak pun ada perasaan yang mereka pendam tapi mereka tak tahu untuk meluahkannya. Selain bercakap dengan anak patung, bercakap atau menyanyi, melukis dan menconteng dinding boleh menjadi cara terbaik mereka mengekspresi diri.
4. Meningkatkan daya imaginasi
Bagi anda garisan hitam yang panjang pada dinding biru rumah adalah sesuatu yang sangat 'menyakitkan' mata, tetapi bagi si kecil ia adalah lukisan hasil imaginasinya terhadap sesuatu objek. Cuba anda tanyakan kembali pada anak, apakah sebenarnya makna contengan di dinding?
Mungkin dia akan memberitahu dan menerangkan tentang makna setiap garisan yang pada pandangan anda tidak membawa apa-apa maksud kecuali kotor! Hakikatnya anak anda belajar berfikir, berimaginasi dan menggambarkan pemikirannya menerusi visual. Tetapi kenapa dinding rumah dan bukan kertas yang sudah disediakan? Oh, anak anda tak boleh tahan melihat betapa luasnya dinding rumah untuk digunakan melakar hasil kreativitinya.
5. Melatih kemahiran koordinasi mata & tangan
Aktiviti melukis terutama pada ruang yang luas dan besar membantu melatih kanak-kanak mengkoordinasikan pergerakan tangan dan mata menjadi lebih fokus. Ia adalah salah satu perkembangan skil motor yang penting bagi si kecil. Mungkin bagi sesetengah ibu bapa, menconteng dinding tak memberi apa-apa faedah kecuali kekotoran tetapi untuk perkembangan si kecil ia satu pencapaian yang sangat besar dan penting!
Jangan risaukan dinding rumah anda akan selamanya comot dan kotor kerana biasanya aktiviti ini bersifat sementara sahaja. Papa dan mama, jangan marah anak ya! Sekarang kan sudah ada cat yang mudah dibersihkan kalau ada hasil contengan dan kekotoran yang melekat.