Pernah tak anda stress bila ada anak yang tidak mahu mendengar cakap. Suruh duduk diam, macam-macam perkara dibuatnya.  Bagi anak yang sedang membesar khasnya peringkat pra sekolah akan bersikap sedemikian.
Menurut  pakar motivasi kekeluargaan,  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, degil itu dilihat sebagai negatif disebabkan anak-anak tidak mendengar kata nasihat yang ibu bapa berikan. Sebaliknya, jika dilihat dari satu sudut lain pula, degil itu membuktikan bahawa anak-anak tetap dengan kemahuan dan pendiriannya.
Sifat degil sebegini perlu ada jika anak mahu berjaya satu hari nanti. Kejayaan memerlukan seseorang itu berdepan dengan masalah, cabaran dan ujian.
Hanya mereka yang degil sahaja yang mampu melepasi semua ini. Oleh itu, adalah satu kesilapan sekiranya ibu bapa mahu agar sifat degil anak itu dibuang.
Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan ialah menyalurkan sikap degil ini secara positif dan betul. Anak-anak yang masih kecil tidak mampu bezakan antara degil yang positif dan degil yang negatif. Maka adalah menjadi tanggung jawab ibu bapa untuk membantunya.
 Karektor anak degil
Anak yang degil biasanya menunjukkan tingkah laku seperti berikut:
a. Suka melakukan sesuatu ikut kehendaknya
b.Tidak mendengar arahan atau nasihat
c. Persisten dalam melakukan sesuatu hingga berjaya atau selesai
d.Menunjukkan sikap kepimpinan dan adakalanya macam bos
e.Tidak bergantung pada orang lain
f. Suka lakukan apa yang dilarang
Cara pengendalian
Setiap kali anak menunjukkan sifat degil, anda boleh melakukan langkah-langkah berikut:
1.Hargai sifat semulajadinya yang degil itu.
2.Banyakkan berkomunikasi dan tanya apa yang dia mahu lakukan atau capai.
3. Beritahu padanya, pastinya anak gembira jika boleh lakukan sesuatu yang juga membuatkan anda sebagai ibu bapa gembira.
4.Berikan dia alternatif untuk salurkan kehendaknya dalam situasi yang sesuai dan tidak berbahaya.
5.Puji apabila anak mula mendengar nasihat atau cakap anda.
Berikut adalah contoh perbualan positif seorang ibu kepada anaknya.
Situasi: Imran seorang anak yang keras hati (degil). Walau pun telah dinasihati banyak kali, dia tetap akan panjat tepi tangga untuk naik ke atas dan ini membahayakannya.
Ibu : Imran, ibu tahu Imran suka memanjat betul?
Imran : Betul ibu
Ibu : Ibu pun suka apabila Imran memanjat, ia menunjukan bahawa Imran seorang yang berani dan sukakan cabaran. Agak-agaknya kenapa ibu selalu bising apabila Imran memanjat?
Imran : Tak tahu.
Ibu : Cuba Imran fikir apa boleh berlaku jika Imran salah panjat atau terlepas tangan?
Imran : Imran akan jatuh.
Ibu : Kalau jatuh sakit tak?
Imran : Sakit.
Ibu : Sebab itulah ibu bising, sebab ibu sayang Imran. Kalau Imran betul-betul suka
memanjat ibu akan bawa Imran ke Mall pada hujung minggu ini, dan dalam tu ada
tempat untuk kanak-kanak panjat-panjat. Di situ Imran boleh panjat sesuka hati,
tetapi kena janji dengan ibu untuk tidak panjat tangga lagi, boleh?
Imran : Betul ker ni ibu?
Ibu : Betul ibu janji.
Imran : Yeay, ok Imran janji takkan panjat di situ lagi.
Ibu : Hah, macam itulah anak ibu. Ibu suka apabila Imran mendengar kata. (Sambil
peluk atau usap kepalanya)
Contoh perbualan di atas jelas menunjukkan ibu menghargai kedegilan anak, menyatakan sebab kenapa dia dihalang untuk meneruskan kelakuannya dan menawarkan alternatif baru untuk disalurkan kesukaan dan bakatnya. Akhir sekali, ibu memuji anak.
Dengan pendekatan sebegitu, anak-anak akan membesar dengan jiwa yang kuat. Mereka memliki kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi. Kekuatan emosi membentuk anak-anak yang berakhlak mulia dan memiliki nilai moral yang tinggi. Mereka tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan masa depannya. Mereka berfikir sebelum bertindak.