Nampak macam senang, minum susu dan makan bubur atau bijirin saja tapi ada aspek lain dalam pemakanan bayi yang penting untuk ibu ambil kira. Sebabnya ibu yang teruja beri bayi makan, dengan mudah menyuap apa saja makanan dalam mulutnya tanpa mengira risiko yang bakal anak terima. Kalau nak tahu 6 kesalahan ini selalu dilakukan ibu ketika memberi makan bayi. Ambil tahu dan perbetulkan ya untuk kebaikan anak juga.

1. Beri Makanan Pejal Terlalu Awal
Melihat bayi seperti tidak kenyang, ibu mula memberi makanan pejal walhal usia bayi belum berusia empat bulan. Pemberian makanan pejal terlalu awal boleh menyebabkan anak mengalami alahan, gangguan pada usus kerana tersumbat bahkan kembung perut. So jangan teruja sangat beri bayi makan awal.

2. Kuantiti Berlebihan
Bila mahu memberi anak makan ada yang meletakkan makanan penuh pinggan atau mangkuk. Kononnya supaya anak tidak cepat lapar lagi dan cepat gemuk. Tindakan ini salah. Ibu perlu tahu keperluan tenaga bayi berbeza mengikut bulan. Ada kemungkinan juga bayi jadi bosan dan “takut” makan jika ibu memaksa makan terlalu banyak.

3. Terlalu Banyak Protein
Terlalu banyak daging, ikan dan telur iaitu makanan mengandungi protein juga tidak baik. Memang zat ini diperlukan untuk perkembangan otak bayi tapi terlalu banyak juga menyebabkan masalah pencernaan.

4. Tambah Pemanis Dalam Makanan
Makanan manis selalu dikaitkan dengan kalori berlebihan yang kesan jangka panjangnya adalah pertambahan berat badan. Semakin awal bayi mengenal makanan manis, risiko obes bertambah.

5. Memberi Madu
Ramai ibu memberi madu untuk mengubati batuk atau sekadar menambah rasa pada makanan. Kenyataannya sistem pencernaan bayi belum sempurna dan madu boleh menyebabkan botulisme, penyakit yang disebabkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Bayi dengan masalah ini akan mengalami kelemahan otot dan masalah pernafasan.

6. Suap Dalam Posisi Baring
Untuk memudahkan urusan makan, ada ibu yang menyuap bayi dalam posisi baring dilapik bantal. Tindakan ini sebenarnya memudahkan anak tercekik dan mengalami jangkitan telinga. Sebaiknya anak dalam posisi duduk ketika makan.
Sebenarnya ramai yang dah terbiasa melakukan perkara di atas hingga kita anggap ia tak salah. Untuk kebaikan anak terutama yang masih bayi belum terlambat untuk kita betulkan.